Wednesday, October 21, 2020

6. Tidakkah Engkau Menyedarinya?

Cerpen : Tidakkah Engkau Menyedarinya?
( Diterima untuk menyertai Antologi Khali Kota Fustat – KKF )
Oleh MOHD ZAKI M.NOOR

BUKAN Engkau tidak tahu mencuri itu haram. Tetapi entah mengapa, hatimu keras mengakuinya. Engkau malas ambil peduli. Engkau sedar Tuhan itu Maha Melihat, Maha Menyaksi, tetapi Engkau nekad pilih cara hidup begini.

Tuhan itu Maha Agung, tidakkah Engkau menyedarinya?

Langit Kaherah semalam cerah. Dan semalam jugalah Engkau hampir tertangkap. Hampir-hampir memastikan Engkau bermalam di penjara bawah tanah untuk sekurang-kurangnya beberapa tahun. Saku si mangsa yang Engkau seluk mengandung telefon bimbit. Mengandung rezekimu. Engkau ambil dan dia sedar.

Dia menjerit dan engkau mahu lari. Selamatkan diri. Pantas telefon bimbit kau sumbatkan ke kocek baju dan menuju ke pintu belakang bas. Rezeki dia punggungmu ditendang. Dan rezekimu telefon bimbitnya kau curi.

Engkau lihat luka di siku, di lutut dan di tapak tangan. Ada lecet di tepi peha. Engkau usap-usap redakan kesakitan semalam. Jatuh bas dan berguling-guling. Bukan kali pertama Engkau hampir ditangkap. Sudah banyak kali dan berbilang pula. Tetapi yang berbilang itu semakin menambah keyakinan dan keberanianmu pula.

Engkau belum ditangkap. Mungkin Tuhan masih sayangkan Engkau. Bukankah Tuhanmu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang?

Pagi tadi pintu rumahmu diketuk. Kuat. Dan engkau terjaga dengan mata yang penuh kantuk. Engkau bangkit dan buka pintu. Tiada sesiapa. Dalam keterpingaan itu tiba-tiba azan pun melaung, bergelombang berterjahan melanda gegendangmu. Dan Engkau pun terpaku dengan nama yang Maha Besar itu masuk ke lubuk hatimu. Engkau rasa sebak dan bersalah. Fajar terbit dan cahayanya bertebaran di dada langit.

Tuhan yang mengatur urusan alam, Tuhan yang Maha Besar dan tiada tandingan.

Hari ini langit Kaherah cerah seperti semalam. Dan untuk beberapa bulan akan datang Engkau yakin ia tetap cerah. Musim sejuk tiba dan kesejukan itu semakin menulang hingga ke sumsum. Ketika seperti inilah mangsa akan berbaju tebal. Masa itulah deria rasa semakin kurang dihadang ketebalan perisai kesejukan.

Engkau raba tepi pinggang pastikan pisau ada di samping. Tutup dengan baju dan lagak bersahaja. Pisau itu penting untuk menjaga keselamatanmu. Meskipun membahayakan yang lain. Bulan lepas Engkau dikejar juga. Engkau ragut dompet dan pantas melenyap. Tetapi mangsamu celik sedar, bau langkahmu dihidu. Dari kesesakan pasar Husin Engkau melipas kudung hingga ke Syariq Abdul Aziz, Atabah, Engkau lari bagai tidak cukup bumi.

Penat melarikan diri Engkau capai pisau dipinggang, berpaling sambil mengacu silang. Mangsa terbata waspada. Nyawa lebih berharga. Di waktu itu, Engkau lukis garang wajahmu pada ketakutan hatinya. Dia terdiam melihat Engkau lari.

Engkau selamat di dunia. Belum tentu Engkau selamat di akhirat.

Engkau sarung kasut dan kuak pintu makam. Di sinilah Engkau dilahirkan. Dibesarkan. Anak tunggal yang kehilangan ibu sejak lahir dan bapa sepuluh tahun lepas. Masih ingat bapamu menasihat jangan mencuri. Mencuri nanti kena potong tangan, tuhan marah - ayahmu memesan. Pesanan itu Engkau pegang dan amal. Tetapi dengan pesanan itu juga Engkau kelaparan. Dulu boleh juga Engkau temani ayah cari kertas terbuang. Dijual dan duitnya dibuat makan.

Engkau tekad ketika itu, dalam usia enam tahun, engkau bersendirian melaksanakan tugas peninggalan bapa. Apa seorang anak yatim dapat makan kalau bukan dari air peluhnya sendiri? Di kota yang kaya terus kaya dan yang miskin terus miskin ini mengajar sebegitu kepada Engkau. Mengajar yang kuat jadi raja, yang lemah jadi hamba. Dan Engkau, ketika itu, cuma si kecil yang lemah dan tidak berdaya.

Rakan-rakan ayah yang turut sama mencari kertas terbuang mengancam Engkau, mengancam seorang budak kecil enam tahun – Jangan potong rezeki kami. Langkah Engkau mati di situ bersama kelaparan yang semakin mengikat perut. Engkau yang yatim saudara mara terpaku, bingung dan akhirnya nekad menjadi pencuri.

Ampuni aku Ya Allah, batinmu berbisik ketika itu.

Dengan langkah pertama, hari ini, Engkau berazam mahu dapat lebih dari semalam. Lokasi hari ini, bas 995. Bas yang berulang alik dari Babul Khalaq ke Hayyu Thamin, Madinat Nasr, kebiasaannya penuh dengan pelajar asing. Engkau keluar dari kawasan makam ke perhentian bas, bas tiba dan Engkau pun naik. Engkau lihat pelajar asing yang bermacam-macam warna kulit; hitam, putih, kuning, merah; bersesak-sesak mahu ke kuliah.

Dalam kesesakan yang membius pergerakan, Engkau perlahan-lahan melerai zip beg seorang gadis di hadapanmu. Engkau capai dompet dan telefon bimbitnya. Senyap-senyap Engkau masukkan ke poketmu dan menanti perhentian seterusnya untuk turun. Belum bas itu berhenti, gadis itu sedar ia telah di curi. Kuning langsat mukanya putih memucat. Bas yang bergerak itu kecoh dan Engkau tiba-tiba takut. Takut lakumu dikesan.

Tetapi, tidak takutkah Engkau pada Tuhan, Maha Kuasa, dan Maha Pantas Siksaannya?

Gadis yang Engkau kira dari Indonesia itu memanggil rakannya, supaya mendail ke telefon bimbitnya. Engkau lihat dengan mata sendiri kekunci telefon itu ditekan dalam bas yang bergoyang-goyang, terkial-kial menekan sebelah tangan, sedang sebelah lagi memaut tiang besi. Engkau cemas dan berdoa - Ya Tuhan, selamatkanlah aku kali ini!

Engkau kejap poketmu kuat-kuat, mahu meminimumkan semungkinnya bunyi itu. Gadis itu bermata syak memandang ke bola matamu. Dia seolah-olah telah tahu. Kemudian memandang ke sekeliling menanti kalau-kalau kedengaran apa-apa bunyi. Tiba-tiba deringan itu kedengaran dari lelaki di belakangmu. Pantas gadis itu meluru ke belakangmu, dalam tolak-tolak bas yang sempit, mengesyaki pemuda itu, dan Engkau mengambil kesempatan menuju ke hadapan mencari peluang turun.

Sebelum turun Engkau sempat menoleh ke belakang, melihat mangsamu meminta maaf kepada pemuda itu kerana tersalah dail, mengesahkan Engkau selamat lagi buat kesekian kalinya.

Engkau masih diberi peluang. Tidak mahukah Engkau bertaubat?

Engkau kembali ke makam dalam gemuruh yang meninggi. Terasa sedikit badanmu menggigil. Sejuk campur takut. Engkau baring keletihan di atas tilam, disamping hasil curian tadi. Mungkin kekuatanmu habis dihadam kebimbangan. Sungguh Engkau lemah semangat dalam situasi sebegitu. Pandanganmu terpanah ke langit, dengan mata yang terkebil-kebil.

Tiba-tiba pintu makam diketuk kuat. Sangat kuat. Engkau bangkit dan membuka pintu. Sekujur tubuh gadis yang Engkau curi pagi tadi terpacak di hadapan matamu. Mulutnya kumat-kamit membacakan firman Tuhan dalam surah Al-Maidah ayat 38 : Pencuri lelaki dan pencuri perempuan, hendaklah dipotong tangan keduanya, sebagai balasan perbuatan keduanya dan sebagai siksaan daripada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Engkau gamam dan terpinga. Sungguh Engkau tidak tahu hendak berbuat apa.

Dia membacakan lagi firman Tuhan dalam surah An-Nisa’ ayat 29 : Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan harta orang lain dengan cara yang salah. Kecuali dengan perniagaan jual beli suka sama suka diantara kamu...

Engkau diburu rasa bersalah. Engkau tunduk memperaku.

Dia menyambung lagi katanya dengan hadis Nabi yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a : Tidak akan mencuri seorang pencuri, ketika dia mencuri dia beriman...

Engkau tersentak mengangkat muka, dan keinsafan pun mencurah bersama air mata.

Dia mengambil tangan kananmu dan Engkau merelakan. Dia kemudiannya meminjam kalam Imam Syafei : Jika mereka mengambil harta sahaja, potonglah tangan dan kaki mereka secara bersilang…

Engkau terpana. Gadis itu mengeluarkan pisau dari belakangnya, lalu dengan pantas mengerat pergelangan kananmu. Darah memancut laju, merah dan pekat. Dalam kesakitan yang amat sangat, Engkaupun menjerit.

Engkau terjaga dan buka mata. Rupanya Engkau masih di atas tilam setelah tertidur keletihan. Renek peluh bertompok-tompok, bercantum-cantum lalu turun ke bawah dagu. Dalam peluh dingin dan mimpi ngeri Engkaupun menggigil. Saat itulah azan zohur pun berkumandang, memanggil Engkau ke jalan Tuhan. Pintu taubat masih terbuka, selagi Engkau masih bernyawa.

Tuhan itu Maha Agung, tidakkah Engkau menyedarinya?

Kaherah, 21 Januari 2005, 9.25 pagi.
http://mohdzaki.blogspot.com

Saturday, October 13, 2007

Petikan Cerpen - Baru Empat Suku [Ubahsuai]

5.15 pagi tepat. Aku mengucap salam kedua. Solat Tahajjud, solat Taubat dan solat Hajat sudah sempurna. Membilang tasbih mengingati Tuhan, Zat yang Maha Agung, kemudian aku terkenangkan ayah, ibu, menarik-narik hati supaya rindu, sehingga menarik juga wajah Atikah berselang seli wajah ayah, ibu, kemudian terkenangkan Kaherah, bas sewa, beg lima buah, dua kotak barang dan sejadah. Sejadah? Eh, subuh! Bila subuhnya?

Friday, October 12, 2007

Petikan Cerpen - Mengapa Sendiri Sendiri?

Imam yang sudah berdiri tadi tiba-tiba bertakbir dan lantas duduk. Sebahagian makmum yang berdiri ikut duduk. Ayah tiba-tiba bangun. Tidak lama selepas Ayah bangun, Pakcik Yusof sudah rukuk. Dan abang, beku dan tidak bergerak-gerak.

Aku menyalin sahaja perbuatan ayah., walaupun aku dapat mengesan sesuatu yang pelik berlaku. Bayangkan sebahagian makmum mengikut imam, dan sebahagian yang lain sembahyang sendiri-sendiri! Dan abang, masih beku dan tidak bergerak lagi!

Thursday, October 11, 2007

Petikan Cerpen - Baru Empat Suku

Ini bukan masalah saya tiada bahan makanan mahu bersahur. Saya sedar saya perempuan yang tidak harus sewenang-wenangnya keluar mencari makanan awal-awal pagi begini. Darurat, satu. Bahaya, dua. Sejuk, tiga. Ada ke kedai buka pagi-pagi buta, empat. Saya juga tahu esok pagi sudah satu Ramadhan dan saya sudah siapkan bekal untuk sahur sejak dari Kaherah lagi. Sungguh, bukan kerana saya anak dara yang manja hingga sahur pun mahu bergantung harap macam tidak pandai memasak atau buat apa-apa persiapan!

Wednesday, October 10, 2007

Petikan Cerpen - Api Nasuha Dan Tombak Nyawa

Prolog
SAAT api itu menyala membakar udara dengan tamak, barulah Engkau sedar nasihat Ibu bukan satu dusta. Engkau bukan Nabi Ibrahim yang Allah sejukkan api bakarnya, tetapi Engkau adalah rentung yang tidak bernyawa bila dibakar, tidak meninggalkan apa-apa kecuali penyesalan dan air mata. Sekarang, antara nyawa dan taubatmu cuma ada Tuhan!

Tuesday, October 09, 2007

Petikan Cerpen - Sinar Bintang Merdeka

Saya memegang pedang pahlawan gemulah datuk. Kilatnya memantul silau daripada terang cahaya langit Marwu, memantul ke kornea dan memantul ke alam. Angin bertiup malu-malu membawa pertanyaan saya ke telinga Ayah; bila ayah mahu ajar saya menunggang kuda?

Ayah memandang rata ke hadapan. Ayah akan bawa kamu ke Balakh esok, dan Ayah mahu kamu tunggang pulang ke rumah dalam seminggu. Jadi, ingat jalan esok baik-baik, jadilah bintang yang bersinar, bukan pengembara yang sesat menanar.

Sunday, October 07, 2007

Petikan Cerpen - Samad

Akak enggan mempertahan pada mulanya, kerana Akak sedar, engkau diracuni fitnah rambang media, atau mereka yang tidak senang dengan golongan agamawan; entah apa dengkinya pada kami yang tidak berbuat salah; lalu engkau yang terpengaruh mula menuturkan kata-kata yang luar batasan. Engkau ditipu tulisan-tulisan dusta mereka, dan apabila engkau membaca, ia sudah meresap ke dalam nadi fikirmu. Resapan yang akhirnya meracuni Engkau hingga hilang pertimbangan.

Saturday, October 06, 2007

Petikan Cerpen - Iman Yang Sebahagian Lagi

Saya dalam terkejut cuba bertenang walaupun tidak marah masih mahu bertanya – Apa Aiman hendak buat dengan nat ini? Ini nat tayar bas. Tidakpun lori. Dia tidak menjawab, cuma memandang saya dari lubang nat itu kemudian mengulangberi kepada saya. Saya ragu-ragu mahu mengambilnya. Letakkan nat ini dulu dan jawab pertanyaan ibu! Mengapa Aiman ambil nat kotor ini?

Dia sedikit ketawa kemudian menerangkan sebabnya tetapi masih dalam kekaburan; Aiman mahu melengkapkan iman yang lagi sebahagian itu! Aiman ketawa bangga, terkekeh-kekeh menampakkan gigi, memperlihat ada lagi celah makanan yang tertinggal lalu mengigatkan saya sesuatu. Sudah! Pergi gosok gigi. Nanti ikut ayah ke masjid solat tarawih.

Friday, October 05, 2007

Petikan Cerpen - Air Mata Tumpah Lagi

Saya bertegas mahu ke Tanta. Mahu jumpa Ibrahim. Dia akan pandu saya ke matlamat carian. Dari Madinat Nasr saya ke Ramsis, meredah kesibukan bandar yang menghubungkan semua negeri dengan Kaherah, mengambil van sewa, dan sejam kemudian saya tiba. Sungguh laju Arab memandu, mencelah dan tanpa brek, membelok dan dengan tiba-tiba juga, berhenti. Saya tarik nafas suku, dan berkali-kali, setiap kali ia berhenti tiba-tiba. Perlanggaran kecil? Itu cuma perkara kecil bagi mereka. Perlanggaran besar? Harap-harap dijauhi.