Cerpen
Baru Empat Suku (terbit di Majalah Remaja pada 15/9/2006)
Oleh MOHD ZAKI M.NOOR
SATU
MALAM tadi aku tidur dengan segala-galanya kecuali Atikah. Baju di birai katil, tuala di bawah kepala, selimut di hujung kaki, alas tilam renyuk di muka lantai, beg sandang di bawah tangan, telefon bimbit di atas dada! Aku tidur merentas dua katil yang dicantumkan. Penat. Itulah terjemahan paling tepat bagi segala-galanya.
Tetapi setelah mata berjaga, masalah telah pun bermula dengan rasminya.
Memanglah ketika kantuk masih berkawal di kelopak mata, aku tidak sedar langsung kerumitan ini. Hanya tahu mematikan jasad di atas katil dan lena, hingga terlupa menanggalkan stokin, melucutkan tudung bahkan menutup lampu! Aku sangat penat. Nasib baik tidak lupa mengunci pintu. Nasib baik setelah beg lima buah dan dua kotak kecil dipunggah masuk dan ikhwah-ikhwah yang menolong angkat barang beredar, aku lantas mengunci pintu, mencari katil dan merebah. Tidur!
Jadi, bila ditimpa masalah ini siapa patut bantu aku?
Memanglah kalau terlupa mengunci pintu itu masalah juga. Paling kurang bahaya aku sebagai seorang anak dara. Bimbang kalau ada lelaki jahat masuk dan berniat tidak baik. Itu minta selisih jauh-jauh. Atau paling kurang bebelan ikhwah-ikhwah yang katanya ambil berat keselamatan orang perempuan ini. Dan Atikah pun apa kurangnya. Bila marah pun macam singa juga. Jangan dikatanya aku membazir elektrik dan meninggikan bil atau itu ini. Tetapi, ini bukan masalah terlupa kunci pintu atau lupa tutup lampu. Ini masalah lain.
Dan aku tengah bingung mahu bertanya siapa.
Oleh kerana kepenatan menguasai diri, aku langsung tidak bertanya banyak bila Atikah memaklumkan bahawa aku terpaksa bersendirian untuk seketika kerana dia perlu membantu siswi-siswi yang lain. Dan aku, hanya mengangguk dengan mata yang dicengkam kantuk, bersalam kemudian menutup pintu, mencari katil, melebarkan selimut agar tidak kesejukan, mengunci jam dan langsung lelap.
Betul-betul, aku mesti tanyakan pada siapa?
Kalau pun Atiqah marah aku selerakkan katilnya, tak mengapa. Aku boleh kemas semula. Lagipun salah dia juga tuala cuma disidai di bahu katil. Aku tidur nyenyak dan dalam keletihan menyelerak segala-galanya hingga bergumpal dan bertaburan. Adatlah kalau si penat tidur akan menghuru-harakan segala yang sudah kemas. Kan aku baru tiba dari Kaherah? Baru pindah. Pindah rumah. Lima beg dan dua kotak itu apa? Itu kan tandanya pindah, dan pindah bererti penat. Takkan alasan itu tidak boleh terima?
Jam yang aku kunci mula membingitkan telinga dan mengganggu tidur, mencelikkan mata seraya teringatkan Atikah dan mengingatkan aku, bahawa aku bersendirian kala ini. Badan yang masih sedikit lenguh dan letih yang baru reda separuh pantas memberitahu bahawa petang tadi, selama hampir empat jam aku berada dalam bas sewa, dengan beberapa jam sebelumnya sibuk memunggah barang dan sebaik tiba di sini, juga mengerah tenaga mengangkut beg dan kotak.
Dan malangnya, sebaik saja bangun, masalah mula bertamu. Bila Atikah tiada, siapa pula yang patut bantu aku?
Kelana aku ke Mesir adalah demi menyambung pelajaran. Dengan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) aku membuat janji pada ibu agar belajar sungguh-sungguh, dan dengan janji itu juga menghantar aku bumi Mesir ini, meninggalkan aku di Lapangan Terbang Baru Kaherah, bahkan dengan janji yang sama, pantas mencampakkan aku ke sini. Hari ini hari perpindahan aku ke Iskandariah, tetapi siapa sangka, bukan penat saja yang aku timba, kebingungan juga datang menjelma. Atikah pula tiada entah di mana.
Jam tiga setengah pagi ini jadi saksi, bahawa aku tengah runsing kerana tidak tahu bagaimana harus aku selesaikan kebingungan ini.
Bukan aku tidak mendail nombor Atikah bahkan sudah sepuluh kali lebih. Sudah muak mendengar operator perempuan Arab itu menjelaskan dengan suara yang sama dan berulang-ulang – nombor yang anda pinta barangkali sedang ditutup. Harap ulangi dail selepas ini. Ah! Mahu ulang dail berapa kali lagi? Sepuluh? Seratus? Seribu? Sejuta?
Atikah pun satu. Sudah tahu aku mahasiswi baru yang tiba seminggu lepas di bumi Mesir ini, adakah patut dia tinggalkan aku sendirian di hari pertama ketibaan aku di Kota Iskandariah ini? Setelah pindah dengan lima beg besar dan dua kotak penuh dari Kaherah? Patutkah? Kemudian matikan telefon bimbit dan langsung tidak ambil peduli entah aku ada masalah atau apa-apa? Atikah oh Atikah!
Wajah Atikah menjelma dalam kepala, Atikah yang baru kukenal seminggu lalu dan agak kebetulan juga, aku akan tinggal di rumah kawannya yang diberitakan pulang bercuti sementara di tanah air. Kerana itu, rumah ini kosong. Dan kerana kekosongan itu juga, aku hilang sumber mahu bertanya siapa. Bahkan kerana ketiadaan tempat bertanya, barulah masalah ini jadi rumit dan berjela-jela.
Muak juga mendengar suara operator Arab perempuan itu tetapi hendak buat macam mana? Aku dail juga untuk entah kali ke berapa.
Kalau pun ghairah mahu membantu mahasiswi-mahasiswi baru yang lain berpindah rumah ke Iskandariah ini pun janganlah matikan talian. Memanglah semua mahasiswi yang tiba di Mesir akan turun di Kaherah, namun rata-ratanya meminta muhafazah Iskandariah. Pastinya bila sekali tauzi' jumlah pasti lebih puluhan langkau ratusan. Aku juga tahu entah berapa puluh rumah akan menerima ahli bait baru tetapi tolonglah…jangan matikan telefon! Apalah nasib aku yang tiba di Mesir akhir Syaaban, dan tepat-tepat hari ini, malam ini, pagi ini, aku perlu bersahur kerana esok satu Ramadan!
Atikah! Tolonglah hidupkan telefon itu!
Ini bukan masalah aku tiada bahan makanan mahu bersahur. Aku sedar aku seorang perempuan yang tidak harus sewenang-wenangnya keluar mencari makanan awal-awal pagi begini. Darurat, satu. Bahaya, dua. Sejuk, tiga. Ada ke kedai buka pagi-pagi buta, empat. Aku juga tahu esok pagi sudah satu Ramadan dan aku sudah siapkan bekal untuk sahur sejak dari Kaherah lagi. Sungguh, bukan kerana aku anak dara yang manja hingga sahur pun mahu bergantung harap macam tidak pandai memasak atau buat apa-apa persiapan!
Silap aku juga. Aku hanya ada nombor Atikah dalam telefon bimbit ini. Nombor orang lain tiada. Nombor ini kan baru dibeli semalam!
Suara Ibu mula terngiang dalam kepala mengait rindu dalam hati sejak berpisah kali dulu – anak dara mesti pandai masak, barulah tidak menyusahkan orang. Bila ke Mesir tiada ibu yang menjaga makan minummu, tetapi belajar-belajarlah masak yang kalaupun tidak pandai tapi lama-lama kalau rajin, akan mahir juga akhirnya.
Aku nekad. Aku ratakan mayonis di dada roti, kemudian dengan basmalah aku mulakan suapan sahur. Aku kunyah perlahan-lahan sambil menyaksikan jam merangkak ke empat pagi. Aku sebetulnya sudah hampir hilang selera dan kalau tidak mengenangkan sahur itu sunnah dan digalakkan amat-amat, barangkali aku tidak terjamah apa-apa pagi ini. Selera langsung hilang kerana kebingungan.
Aku teguk air mineral sudi tidak sudi. Roti pun cuma luak dua keping. Perut terasa kenyang walaupun hakikatnya aku kuat makan, lebih-lebih lagi di musim sejuk begini. Dan Atikah yang masih gagal dihubungi sejak tadi membuatkan aku asyik teringatkan masalah aku yang belum selesai.
Aku ambil wuduk dan bentang sejadah. Di sinilah sebenarnya masalah aku yang pertama. Mana kiblat?
Aku tak tergamak mahu keluar mengetuk pintu rumah Arab pagi-pagi begini bertanya arah kiblat, itu kerja gila, entah-entah lelaki Arab gersang mana ternampak aku terpacul di depan pintu lantas diragutnya aku…. Isyh! Aku berlindung sepenuhnya pada Tuhan. Minta dijauhkan sangat. Lagi-lagi tahap kehidupan di sini yang khabarnya menyukarkan lelaki berkahwin kerana mahar yang tinggi, bermakna, entah berapa ramai lelaki bujang yang berkeliaran di luar sana!
Asalnya aku mahu Tahajjud, tetapi kalau kiblat tidak tahu, aku jadi putus idea dan duduk termanggu. Aku bilang tasbih di tangan kanan, mendail Atikah di tangan kiri. Hati berdoa minta keampunan, sedang kotak fikir macet dengan harapan – Atikah, hidupkan talian!
Aku benar-benar tidak sangka, masalah yang bermula dari ditinggalkan sendirian, berganda-ganda bila talian dimatikan. Aku yang kelaparan hilang selera mahu bersahur dan sekarang, mahu Tahajjud pun tidak tahu arah apatah lagi nasib aku kalau nanti masuk subuh dan aku.... Atikah, mana kiblat? Atikah, mana kau pergi?
Tidak semena-mena, azan melaung sayup dari kejauhan. Bilangan tasbih mati. Dailan terhenti. Doa ditangguhkan. Fikiran berkecaian. Azan? Sudah subuh? Sekarang baru jam empat! Atau empat satu minit. Baru pukul empat tapi sudah subuh?
Memanglah kalau aku seorang lelaki bisa sahaja keluar ke masjid lantas bertanya arah kiblat kepada muazzin setelah beliau selesai azan, tetapi aku kan seorang perempuan? Ataupun kalau enggan menunggu dia selesai azan boleh sahaja lihat sejadah atau apa-apa tanda yang menunjukkan arah kiblat, tentu masalah arah kiblat tidak menjadi hal. Atau kalau mahu lebih mudah lagi, solat sahaja di situ. Tetapi aku perempuan. Lagipun, sekarang memang sudah subuh?
Seingat aku, semalam subuh di Kaherah jam 5.45 pagi. Dan, oleh kerana sebaik sahaja masuk bulan Oktober kata Atikah, barangkali bermula hari ini, jam akan dicepatkan sejam lebih awal. Itu bermakna subuh patut jam 4.45 pagi. Tetapi sekarang baru jam empat tepat. Apa beza Kaherah dengan Iskandariah jejak 45 minit? Biar betul! Takkan sampai 45 minit? Kalau sepuluh lima belas minit itu boleh jadi juga tetapi kalau sampai 45 minit? Sungguh ke?
Atikah!
Aku bukanlah pandai sangat Geografi atau ilmu kaji bumi ini tetapi ada juga belajar satu dua. Masa berbeza kerana jarak. Tetapi, antara Kaherah dengan Iskandariah berjarak tiga jam perjalanan seperti jarak Johor Bahru dengan Kuala Lumpur atau atas sedikit. Sedangkan beza masa solat di Kuala Lumpur dengan Johor Bahru sekitar sepuluh minit atau kurang, inikan pula beza masa Kaherah dengan Iskandariah sampai 45 minit. Logik ke? Bukan lagi berganda satu bahkan lebih dua mencecah tiga! Mungkin sahaja empat atau lima.
Telefon bimbit Atikah masih lagi belum dihidupkan. Kehabisan bateri agaknya.
Aku yang termanggu di atas sejadah bangkit membuka tingkap serasa mahu menebak fajar. Sekarang sudah fajar? Angin laut Mandarah berpuput lembut membawa hawa laut yang sejuk dan nyaman tetapi gagal menghadirkan jawapan - benar sekarang sudah subuh? Ah! Kalau benar sudah subuh pun apa bezanya? Baik sahaja aku solat kemudian boleh berehat atau terus berzikir hingga pagi.
Aku cuba membentangkan sejadah. Tetapi kiblat? Telefon bimbit di tangan terasa bagai mahu dihempas. Atikah oh Atikah!
Aku ke jendela semula. Dari muka tingkap aku cuba menduga jihat kiblat! Bingung sudah sebati jahil hingga membuahkan hampa. Langit tetap kosong kecuali beberapa tompok awan, begitu juga jalanraya yang sudah lama sunyi sejak aku bangun tadi. Dan aku, masih tidak tahu arah kiblat, bahkan belum pasti sudah subuh atau pun tidak. Pintu rumah diketuk tiba-tiba.
Atikah! Harap-harap Atikah!
Aku memastikan Atikah melalui lubang intai di pintu. Dia bersama seorang lelaki berada di luar sana. Aku pantas membuka pintu.
"Assalamualaikum." Atikah memulakan salam tanpa tangguh.
"Waalaikumussalam," jawab aku lalu meneruskan," mengapa Kak Atikah matikan telefon?"
Pintu diluaskan. Atikah dan lelaki itu dipersilakan masuk.
"Bateri habis. Sudah sahur?" Tanya Atikah sejurus membuka kasut.
"Sudah. Bahkan sedang cari arah kiblat mahu solat subuh."
"Subuh?" Atikah bertanya sedikit kehairanan. Dia duduk di kerusi bersebelahan lelaki tadi.
"Kan tadi sudah azan? Hai, takkan dalam perjalanan ke sini tidak dengar azan? Sebelah akak tu siapa?" Aku memaksudkan lelaki di sebelahnya.
"Ini suami akak." Atikah tersenyum simpul berbunga-bunga." Kami baru sahaja bernikah dua minggu lepas."
Apa? Suami? Patutlah bebas benar bergerak malam-malam buta hingga jejak ke subuh. Patutlah galak sangat membantu semua siswi baru pindah rumah.
"Kak Atikah..." seru aku dalam suara lembut. "Mana kiblat? Kita hendak solat subuh."
"Cik adik…"Atikah mengajuk aku pula, juga dalam suara lembut, "akak hauslah. Suami akak pun haus. Ada air tak? Penat semalaman hingga jejak subuh mengangkut barang akhawat-akhawat kita yang dekat dua ratus itu."
Aku sedikit terkejut, terus menghampiri telinga Atikah mahu membisikkan sesuatu. "Tak mengapa sahaja kalau akak 'datang bulan', tetapi laki akak kan wajib puasa? Nak ambil kan air untuk dia juga?"
Atikah tergelak tiba-tiba. Suami Atikah memandang kami.
"Cik puan…" Atikah belum puas mengajuk lagi, "sekarang belum subuh. Baru empat suku pagi. Subuh kan lambat lagi."
Belum subuh? Azan tadi itu apa? Bukan azan subuh?
"Tadi itu azan untuk kejut orang bangun sahur. Memanglah namanya azan tetapi bukan azan subuh. Awak kan siswi Syariah Islamiyah, takkan tak tahu?"
Aku geleng dengan kepala berat. Sudah tidak tahu kena mengaku juga. Takkan mahu mengaku pandai kalau memang benar diri sendiri jahil?
"Dulu di zaman Rasulullah, Baginda ada mengingatkan. Jika Bilal yang azan, maka kaum muslimin masih boleh makan dan minum. Sahurlah senang cerita. Sebab Bilal azan untuk mengejutkan mereka yang masih lena.(1)"
Aku mengangguk faham. Masalah semakin menemui jawapan.
"Tetapi apabila mendengar azan daripada Ibnu Ummi Maktum, maka itu tandanya sudah masuk subuh. Itu azan subuh yang sebenar. Jadi, kesimpulannya, boleh ambilkan air untuk akak dan suami?"
Aku ke dapur membawa air mineral dan roti yang masih berbaki dalam plastik. Juga mayonis.
"Sebelum terlupa baik juga mengingatkan awak, ada juga riwayat lain yang menyebut bahawa, Ibnu Ummi Maktumlah yang mengazan demi membangunkan kaum muslimin dari lena, sedang azan dari Bilal barulah dikira azan subuh. Itu khilaf dari segi riwayat.(2)"
Aku mengangguk. Atikah dan suami bersahur, dan aku memandang sahaja. Kemudian, azan berlaung lagi kali kedua.
DUA
Saya membiarkan Azimah meminta diri masuk ke dalam bilik kerana katanya, dia kurang selesa menyambut saya dan suami dengan telekung, bahkan dia mahu mengemas katil yang selerak. Saya juga kurang jelas, tetapi enggan bertanya banyak dan mahu berbincang dengan suami secara peribadi. Pertama, kerana rumah ini bukan rumah saya, dan saya cuma menjaganya sementara rakan-rakan bercuti raya di tanah air. Kedua, saya dan suami perlu pulang ke rumah kami dan enggan menyusahkan Azimah tetapi bimbang kalau-kalau dia masih ada keperluan tetapi bila mengenangkan janji saya awal-awal tadi, bahawa saya tinggalkan dia sementara saja bikin saya serba salah dan mungkin akan menetap bersamanya buat beberapa ketika. Ketiga, kerana hari ini satu Ramadan, adalah lebih manis sekiranya saya meneman Azimah lebih lama apatah lagi kerana dia bersendirian dan belum tahu selok belok Iskandariah kerana masih baru. Keempat, tetapi saya rasa kurang wajar kerana saya sudah terlalu penat, bimbang bukan sahaja tidak membantunya sebaliknya saya tidur sepanjang hari bahkan menyusahkannya pula.
Saya meminta pendapat suami. Suami mencadangkan agar dia balik sendirian dan membiarkan saya menemani Azimah paling kurang satu hari, bahkan meminta saya jangan bimbang kerana dia boleh mengurus diri. Saya fikir saya perlu bertanya Azimah sendiri. Pendapatnya. Barangkali dia ada cadangan.
Azimah tiba-tiba muncul, hampir-hampir menyembunyikan langsung kehadirannya dan bersuara sedikit perlahan, “akak, mana kiblat? Kita ingat nak solat Tahajjud.”
“Tegak saja menghadap dinding, menghadap jendela bilik,” terang saya dalam kelam-kabut, hingga hampir terlupa mahu bertanya pendapatnya.
Azimah mengangguk, memberi peluang saya menyusun kata. “Azimah. Azimah rasa perlu apa-apa kerana akak fikir mahu pulang ke rumah. Tetapi bimbang kalau-kalau Azimah perlukan apa-apa, akak boleh saja tinggal di sini buat sementara dan suami akak terus pulang ke rumah. Azimah rasa bagaimana?”
Azimah tak banyak mengambil masa untuk berfikir dan membuat keputusan. “Tak mengapa saja kalau akak balik, tak perlu bimbangkan saya. Kalau ada apa-apa, nanti saya bagitahu.”
Azimah memandang saya. Saya memandang suami. Suami mengangguk, memberi isyarat bahawa sudah masanya untuk pulang ke rumah setelah semalaman membantu mengangkat beg. Badan sudah agak letih, terasa ada lekit dek peluh yang sudah kering, sesuai amat kalau mahu berehat dan menyediakan diri sebelum subuh.
4.45 pagi tepat. Saya menyarung kasut, membuka pintu, berjalan keluar bersama suami dan kemudian mengucapkan salam sambil meninggalkan pesan, bahawa saya akan datang lagi kira-kira lepas Zuhur untuk menjenguk dan membantunya mengemaskan rumah atau membeli barang. Azimah tidak banyak bicara, hanya tersenyum dan mengangguk tanda setuju. Barangkali, itu adalah saat dan dalilnya bahawa saya dan suami perlu berangkat sekarang juga.
Saya dan suami menuruni tangga. Pintu dikunci. Gelap dan sejuk sudah bersebati, bergaul-gaul menyeru kantuk agar bersatu. Mata mulai layu.
TIGA
5.15 pagi tepat. Aku mengucap salam kedua. Solat Tahajjud, solat Taubat dan solat Hajat sudah sempurna. Membilang tasbih mengingati Tuhan, Zat yang Maha Agung, kemudian aku terkenangkan ayah, ibu, menarik-narik hati supaya rindu, sehingga menarik juga wajah Atikah berselang seli wajah ayah, ibu, kemudian terkenangkan Kaherah, bas sewa, beg lima buah, dua kotak barang dan sejadah. Sejadah? Eh, subuh! Bila subuhnya?
Ini masalah!
Seingat aku, sejak Atikah dan suami pulang, sudah dua kali azan. Sekali azan dari sebelah kanan, dan sekali dari sebelah kiri. Kanan kiri imarah ini ada masjid. Itu aku tahu, tetapi azan mengikut cakap Atikah ada dua. Ada azan untuk kejut muslimin bangun daripada tidur, dan ada azan subuh yang sebenar. Tetapi, di zaman ini, di tempat ini, di waktu ini, siapa yang ambil peranan Bilal bin Rabah, dan siapa pula ambil tugas Ibnu Ummi Maktum? Dan macam mana boleh aku mengenal beza suara mereka? Ini mustahil. Atikah! Aku kena tanya Atikah.
Aku mencapai telefon bimbit, membuka buku telefon dan mencari nama Atikah sekali lagi. Nombor didail, panggilan dibuat dan hasilnya, suara Arab perempuan itu juga yang mengambil tempat - nombor yang anda pinta barangkali sedang ditutup. Harap ulangi dail selepas ini.
Atikah! Bateri belum siap dicaskah? Jangan hantar aku ke mulut harimau selepas kauselamatkan dari mulut buaya!
Aku ke jendela lagi, sebenarnya hati mengharapkan Atikah dan suami ada di situ sedang dalam perjalanan pulang tetapi mereka bukankah sudah balik setengah jam yang lalu? Ini harapan yang sebenarnya bukan harapan pun.
Malam tadi memang Atikah tinggalkan aku, tetapi kali ini aku yang lepaskan dia. Malam tadi memang salah Atikah, tetapi kali ini memang salah aku. Malam tadi bukan silap aku kerana aku memang letih hingga akal tak terfikir, tetapi sekarang memang silap aku kerana aku cuai dan lalai. Kenapa tak tanya jam? Pukul berapa azan subuh yang sebenar? Kenapa biarkan Atikah balik begitu saja tanpa tanya waktu yang benar-benar?
Ya Allah!
Kan aku tahu telefon bimbitnya kehabisan bateri, kenapa tak pinta nombor suaminya? Mana tahu ada. Mana tahu kalau-kalau ada hal mustahak boleh juga aku telefon. Bahkan dalam masa setengah jam, bateri apa yang akan siap dicas? Jadi, ini memang seratus peratus salah aku.
Aku sibuk bertanya mana kiblat dan mahu Tahajjud, tetapi kenapa begitu cuai hingga tak tertanya bila subuh. Sejak tadi sudah beberapa kali azan, tetapi bilakah azan subuh yang sebenar?
Wajah Atikah yang lebar menerjah kembali dalam benak, memainkan kembali pelawaannya dengan suara yang lunak.
+ Kalau-kalau Azimah perlukan apa-apa, akak boleh saja tinggal di sini buat sementara...
- Tak mengapa saja kalau akak balik, tak perlu bimbangkan saya. Kalau ada apa-apa, nanti saya bagitahu.
Nak bagitahu macam mana? Telefon padam. Hari malam. Rumah di mana pun tak tahu. Itulah sombong sangat, konon matang dan boleh jaga diri tetapi cuai dan leka. Sekarang nah, tanggung akibatnya.
Baik aku hantar mesej. Mana tahu dia buka.
5.30 pagi tepat. Aku terasa haus, tekak meronta-ronta dahaga. Kerana pening akibat masalah yang bukan sahaja tidak selesai bahkan semakin buntu, aku tinggalkan sejadah, melipat dan menghamparkannya di bucu katil lantas menuju ke dapur. Membuka peti sejuk kemudian mengambil air mineral tadi. Air mineral. Roti. Mayonis. Ah, hari ini satu Ramadan, kalau betul sudah subuh mana aku boleh makan!
Ya, Allah... Atikah! Mana satu azan subuh yang sebenar?
Sebagai ihtiyat, aku tak minum. Lebih baik haus daripada ganti puasa. Lebih baik aku bermain kira-kira. Daripada setakat nekad dan akhirnya batal.
Subuh di Kaherah semalam jam 5.45 pagi. Sekiranya jam sudah dicepatkan satu jam lebih awal, maka subuh 4.45 pagi. Tetapi sekarang sudah lebih lima setengah. Barangkali belum subuh. Barangkali waktu belum berubah, dan jam belum dicepatkan. Baik. Aku tunggu sekejap lagi, sehingga 5.45 pagi, seperti subuh di Kaherah.
Tik. Tik. Tik. Masa berlalu seperti selalunya.
5.43 pagi. Aku menggaru kepala.
5.44 pagi. Aku mendagu pipi.
5.45 pagi. Hanya pada jam.
5.46 pagi. Lebih satu minit
5.47 pagi. Lebih dua minit.
5.48 pagi.
Bila subuh ni Atikah!
Telefon berdering. Nombor Atikah naik memenuhi skrin.
“Azimah hantar mesej? Subuh kejap lagi. Sekarang belum subuh...”
“Jadi, pukul berapa?”
“Sekejap lagi. Tunggu azan serentak dari semua masjid di sekitar. Sekitar rumah tu banyak masjid. Bila azan hampir serentak, itulah azan subuh.”
Azan pun melaung, bersambut-sambut, dari seluruh jihat, menghentikan segala penantian, menyelesaikan segala kebimbangan, menukarkan resah kepada mengingati Tuhan.
TAMAT
Rujukan :
1. Fathul Bari hadis nombor 622 dan 623, bab al-azan qabla al-fajr
2. Musnad Imam Ahmad, hadis 26168 dan 26170, kitab min musnad al-qabail
Glosari:
Ikhwah - Gelaran bagi mahasiswa (lelaki).
Akhawat – Gelaran bagi mahasiswi (perempuan)
Muhafazah -Ibu negeri.
Tauzi' - Proses menghantar mahasiswa ke cawangan-cawangan universiti.
Ahli bait- Teman serumah
Basmalah - Kependekan daripada lafaz Bismillahirahmanirrahim
Muazzin – gelaran bagi orang yang azan @ bilal.
Mandarah – Satu kawasan di Iskandariah
Imarah – bangunan
Ihtiyat – berjaga-jaga
Tuesday, September 05, 2006
Subscribe to:
Posts (Atom)