Saturday, October 13, 2007

Petikan Cerpen - Baru Empat Suku [Ubahsuai]

5.15 pagi tepat. Aku mengucap salam kedua. Solat Tahajjud, solat Taubat dan solat Hajat sudah sempurna. Membilang tasbih mengingati Tuhan, Zat yang Maha Agung, kemudian aku terkenangkan ayah, ibu, menarik-narik hati supaya rindu, sehingga menarik juga wajah Atikah berselang seli wajah ayah, ibu, kemudian terkenangkan Kaherah, bas sewa, beg lima buah, dua kotak barang dan sejadah. Sejadah? Eh, subuh! Bila subuhnya?

Friday, October 12, 2007

Petikan Cerpen - Mengapa Sendiri Sendiri?

Imam yang sudah berdiri tadi tiba-tiba bertakbir dan lantas duduk. Sebahagian makmum yang berdiri ikut duduk. Ayah tiba-tiba bangun. Tidak lama selepas Ayah bangun, Pakcik Yusof sudah rukuk. Dan abang, beku dan tidak bergerak-gerak.

Aku menyalin sahaja perbuatan ayah., walaupun aku dapat mengesan sesuatu yang pelik berlaku. Bayangkan sebahagian makmum mengikut imam, dan sebahagian yang lain sembahyang sendiri-sendiri! Dan abang, masih beku dan tidak bergerak lagi!

Thursday, October 11, 2007

Petikan Cerpen - Baru Empat Suku

Ini bukan masalah saya tiada bahan makanan mahu bersahur. Saya sedar saya perempuan yang tidak harus sewenang-wenangnya keluar mencari makanan awal-awal pagi begini. Darurat, satu. Bahaya, dua. Sejuk, tiga. Ada ke kedai buka pagi-pagi buta, empat. Saya juga tahu esok pagi sudah satu Ramadhan dan saya sudah siapkan bekal untuk sahur sejak dari Kaherah lagi. Sungguh, bukan kerana saya anak dara yang manja hingga sahur pun mahu bergantung harap macam tidak pandai memasak atau buat apa-apa persiapan!

Wednesday, October 10, 2007

Petikan Cerpen - Api Nasuha Dan Tombak Nyawa

Prolog
SAAT api itu menyala membakar udara dengan tamak, barulah Engkau sedar nasihat Ibu bukan satu dusta. Engkau bukan Nabi Ibrahim yang Allah sejukkan api bakarnya, tetapi Engkau adalah rentung yang tidak bernyawa bila dibakar, tidak meninggalkan apa-apa kecuali penyesalan dan air mata. Sekarang, antara nyawa dan taubatmu cuma ada Tuhan!

Tuesday, October 09, 2007

Petikan Cerpen - Sinar Bintang Merdeka

Saya memegang pedang pahlawan gemulah datuk. Kilatnya memantul silau daripada terang cahaya langit Marwu, memantul ke kornea dan memantul ke alam. Angin bertiup malu-malu membawa pertanyaan saya ke telinga Ayah; bila ayah mahu ajar saya menunggang kuda?

Ayah memandang rata ke hadapan. Ayah akan bawa kamu ke Balakh esok, dan Ayah mahu kamu tunggang pulang ke rumah dalam seminggu. Jadi, ingat jalan esok baik-baik, jadilah bintang yang bersinar, bukan pengembara yang sesat menanar.

Sunday, October 07, 2007

Petikan Cerpen - Samad

Akak enggan mempertahan pada mulanya, kerana Akak sedar, engkau diracuni fitnah rambang media, atau mereka yang tidak senang dengan golongan agamawan; entah apa dengkinya pada kami yang tidak berbuat salah; lalu engkau yang terpengaruh mula menuturkan kata-kata yang luar batasan. Engkau ditipu tulisan-tulisan dusta mereka, dan apabila engkau membaca, ia sudah meresap ke dalam nadi fikirmu. Resapan yang akhirnya meracuni Engkau hingga hilang pertimbangan.

Saturday, October 06, 2007

Petikan Cerpen - Iman Yang Sebahagian Lagi

Saya dalam terkejut cuba bertenang walaupun tidak marah masih mahu bertanya – Apa Aiman hendak buat dengan nat ini? Ini nat tayar bas. Tidakpun lori. Dia tidak menjawab, cuma memandang saya dari lubang nat itu kemudian mengulangberi kepada saya. Saya ragu-ragu mahu mengambilnya. Letakkan nat ini dulu dan jawab pertanyaan ibu! Mengapa Aiman ambil nat kotor ini?

Dia sedikit ketawa kemudian menerangkan sebabnya tetapi masih dalam kekaburan; Aiman mahu melengkapkan iman yang lagi sebahagian itu! Aiman ketawa bangga, terkekeh-kekeh menampakkan gigi, memperlihat ada lagi celah makanan yang tertinggal lalu mengigatkan saya sesuatu. Sudah! Pergi gosok gigi. Nanti ikut ayah ke masjid solat tarawih.

Friday, October 05, 2007

Petikan Cerpen - Air Mata Tumpah Lagi

Saya bertegas mahu ke Tanta. Mahu jumpa Ibrahim. Dia akan pandu saya ke matlamat carian. Dari Madinat Nasr saya ke Ramsis, meredah kesibukan bandar yang menghubungkan semua negeri dengan Kaherah, mengambil van sewa, dan sejam kemudian saya tiba. Sungguh laju Arab memandu, mencelah dan tanpa brek, membelok dan dengan tiba-tiba juga, berhenti. Saya tarik nafas suku, dan berkali-kali, setiap kali ia berhenti tiba-tiba. Perlanggaran kecil? Itu cuma perkara kecil bagi mereka. Perlanggaran besar? Harap-harap dijauhi.

Thursday, October 04, 2007

Petikan Cerpen - Permata Nasuha

SATU
Petang itu saya perhatikan abang pulang. Dia masukkan kereta ke dalam garaj, dan enjin kereta pun padam. Dia yang berbaju kemeja kemas menjinjit beg plastik hitam kembung dengan pakaian, bertemu pandang dengan saya sambil tersenyum. Letih riak wajahnya, tetapi masih lagi berpakaian kemas dan segak. Saya membalas senyuman itu dengan tampang yang girang. Dia bertanyakan khabar saya, dan saya mengatakan saya baik. Anda tahu apa yang berlaku? Saya ambil beg plastik di tangannya dan saya buka. Terkejut saya hingga terlepas beg plastik itu daripada tangan. Spontan saya kata, “ Abang bunuh orang lagi?”

Wednesday, October 03, 2007

Petikan Cerpen - Tidakkah Engkau Menyedarinya?

BUKAN Engkau tidak tahu mencuri itu haram. Tetapi entah mengapa, hatimu keras mengakuinya. Engkau malas ambil peduli. Engkau sedar Tuhan itu Maha Melihat, Maha Menyaksi, tetapi Engkau nekad pilih cara hidup begini.

Tuhan itu Maha Agung, tidakkah Engkau menyedarinya?

Tuesday, October 02, 2007

Petikan Cerpen - Adi

AYAH harap Adi faham. Kita orang miskin, kita orang susah. Kita hidup dengan apa yang ada. Kita tidak semewah Tok Penghulu. Tok Penghulu ada sawah 30 relung, luasnya seluas mata memandang. Tok Penghulu ada kebun 10 ekar. Ada rambutan, manggis, langsat, duku, durian, kelapa. Tetapi ayah harap Adi faham yang kita cuma ada rumah papan ini, rumah yang ayah warisi daripada peninggalan atuk.

Monday, October 01, 2007

Petikan Cerpen - Adakah Ia Kegembiraan Atau Kesedihan

Dari depan pintu, aku memandang jauh ke hadapan. Laman yang agak luas, sesuai dengan status aku yang masih bujang. Rumput hijau, walaupun tanpa bunga yang menjadi penyeri. Pagar yang sudah berkarat kelihatan ternganga. Satu pemandangan biasa antara puluhan rumah teres walaupun ada yang agak cantik dan mewah. Jiran sebelah rumah aku kedua-duanya sudah lama tidak tinggal di situ sejak peristiwa itu berlaku. Jalan masih lengang kerana hari ini hari minggu. Mungkin masing-masing sedang lena tidur dan kepenatan, merayakan hari minggu. Dan aku pula bakal memulakan sebuah perjalanan sebentar lagi. Maklumlah aku hanya penumpang di sini.