Wednesday, October 21, 2020

6. Tidakkah Engkau Menyedarinya?

Cerpen : Tidakkah Engkau Menyedarinya?
( Diterima untuk menyertai Antologi Khali Kota Fustat – KKF )
Oleh MOHD ZAKI M.NOOR

BUKAN Engkau tidak tahu mencuri itu haram. Tetapi entah mengapa, hatimu keras mengakuinya. Engkau malas ambil peduli. Engkau sedar Tuhan itu Maha Melihat, Maha Menyaksi, tetapi Engkau nekad pilih cara hidup begini.

Tuhan itu Maha Agung, tidakkah Engkau menyedarinya?

Langit Kaherah semalam cerah. Dan semalam jugalah Engkau hampir tertangkap. Hampir-hampir memastikan Engkau bermalam di penjara bawah tanah untuk sekurang-kurangnya beberapa tahun. Saku si mangsa yang Engkau seluk mengandung telefon bimbit. Mengandung rezekimu. Engkau ambil dan dia sedar.

Dia menjerit dan engkau mahu lari. Selamatkan diri. Pantas telefon bimbit kau sumbatkan ke kocek baju dan menuju ke pintu belakang bas. Rezeki dia punggungmu ditendang. Dan rezekimu telefon bimbitnya kau curi.

Engkau lihat luka di siku, di lutut dan di tapak tangan. Ada lecet di tepi peha. Engkau usap-usap redakan kesakitan semalam. Jatuh bas dan berguling-guling. Bukan kali pertama Engkau hampir ditangkap. Sudah banyak kali dan berbilang pula. Tetapi yang berbilang itu semakin menambah keyakinan dan keberanianmu pula.

Engkau belum ditangkap. Mungkin Tuhan masih sayangkan Engkau. Bukankah Tuhanmu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang?

Pagi tadi pintu rumahmu diketuk. Kuat. Dan engkau terjaga dengan mata yang penuh kantuk. Engkau bangkit dan buka pintu. Tiada sesiapa. Dalam keterpingaan itu tiba-tiba azan pun melaung, bergelombang berterjahan melanda gegendangmu. Dan Engkau pun terpaku dengan nama yang Maha Besar itu masuk ke lubuk hatimu. Engkau rasa sebak dan bersalah. Fajar terbit dan cahayanya bertebaran di dada langit.

Tuhan yang mengatur urusan alam, Tuhan yang Maha Besar dan tiada tandingan.

Hari ini langit Kaherah cerah seperti semalam. Dan untuk beberapa bulan akan datang Engkau yakin ia tetap cerah. Musim sejuk tiba dan kesejukan itu semakin menulang hingga ke sumsum. Ketika seperti inilah mangsa akan berbaju tebal. Masa itulah deria rasa semakin kurang dihadang ketebalan perisai kesejukan.

Engkau raba tepi pinggang pastikan pisau ada di samping. Tutup dengan baju dan lagak bersahaja. Pisau itu penting untuk menjaga keselamatanmu. Meskipun membahayakan yang lain. Bulan lepas Engkau dikejar juga. Engkau ragut dompet dan pantas melenyap. Tetapi mangsamu celik sedar, bau langkahmu dihidu. Dari kesesakan pasar Husin Engkau melipas kudung hingga ke Syariq Abdul Aziz, Atabah, Engkau lari bagai tidak cukup bumi.

Penat melarikan diri Engkau capai pisau dipinggang, berpaling sambil mengacu silang. Mangsa terbata waspada. Nyawa lebih berharga. Di waktu itu, Engkau lukis garang wajahmu pada ketakutan hatinya. Dia terdiam melihat Engkau lari.

Engkau selamat di dunia. Belum tentu Engkau selamat di akhirat.

Engkau sarung kasut dan kuak pintu makam. Di sinilah Engkau dilahirkan. Dibesarkan. Anak tunggal yang kehilangan ibu sejak lahir dan bapa sepuluh tahun lepas. Masih ingat bapamu menasihat jangan mencuri. Mencuri nanti kena potong tangan, tuhan marah - ayahmu memesan. Pesanan itu Engkau pegang dan amal. Tetapi dengan pesanan itu juga Engkau kelaparan. Dulu boleh juga Engkau temani ayah cari kertas terbuang. Dijual dan duitnya dibuat makan.

Engkau tekad ketika itu, dalam usia enam tahun, engkau bersendirian melaksanakan tugas peninggalan bapa. Apa seorang anak yatim dapat makan kalau bukan dari air peluhnya sendiri? Di kota yang kaya terus kaya dan yang miskin terus miskin ini mengajar sebegitu kepada Engkau. Mengajar yang kuat jadi raja, yang lemah jadi hamba. Dan Engkau, ketika itu, cuma si kecil yang lemah dan tidak berdaya.

Rakan-rakan ayah yang turut sama mencari kertas terbuang mengancam Engkau, mengancam seorang budak kecil enam tahun – Jangan potong rezeki kami. Langkah Engkau mati di situ bersama kelaparan yang semakin mengikat perut. Engkau yang yatim saudara mara terpaku, bingung dan akhirnya nekad menjadi pencuri.

Ampuni aku Ya Allah, batinmu berbisik ketika itu.

Dengan langkah pertama, hari ini, Engkau berazam mahu dapat lebih dari semalam. Lokasi hari ini, bas 995. Bas yang berulang alik dari Babul Khalaq ke Hayyu Thamin, Madinat Nasr, kebiasaannya penuh dengan pelajar asing. Engkau keluar dari kawasan makam ke perhentian bas, bas tiba dan Engkau pun naik. Engkau lihat pelajar asing yang bermacam-macam warna kulit; hitam, putih, kuning, merah; bersesak-sesak mahu ke kuliah.

Dalam kesesakan yang membius pergerakan, Engkau perlahan-lahan melerai zip beg seorang gadis di hadapanmu. Engkau capai dompet dan telefon bimbitnya. Senyap-senyap Engkau masukkan ke poketmu dan menanti perhentian seterusnya untuk turun. Belum bas itu berhenti, gadis itu sedar ia telah di curi. Kuning langsat mukanya putih memucat. Bas yang bergerak itu kecoh dan Engkau tiba-tiba takut. Takut lakumu dikesan.

Tetapi, tidak takutkah Engkau pada Tuhan, Maha Kuasa, dan Maha Pantas Siksaannya?

Gadis yang Engkau kira dari Indonesia itu memanggil rakannya, supaya mendail ke telefon bimbitnya. Engkau lihat dengan mata sendiri kekunci telefon itu ditekan dalam bas yang bergoyang-goyang, terkial-kial menekan sebelah tangan, sedang sebelah lagi memaut tiang besi. Engkau cemas dan berdoa - Ya Tuhan, selamatkanlah aku kali ini!

Engkau kejap poketmu kuat-kuat, mahu meminimumkan semungkinnya bunyi itu. Gadis itu bermata syak memandang ke bola matamu. Dia seolah-olah telah tahu. Kemudian memandang ke sekeliling menanti kalau-kalau kedengaran apa-apa bunyi. Tiba-tiba deringan itu kedengaran dari lelaki di belakangmu. Pantas gadis itu meluru ke belakangmu, dalam tolak-tolak bas yang sempit, mengesyaki pemuda itu, dan Engkau mengambil kesempatan menuju ke hadapan mencari peluang turun.

Sebelum turun Engkau sempat menoleh ke belakang, melihat mangsamu meminta maaf kepada pemuda itu kerana tersalah dail, mengesahkan Engkau selamat lagi buat kesekian kalinya.

Engkau masih diberi peluang. Tidak mahukah Engkau bertaubat?

Engkau kembali ke makam dalam gemuruh yang meninggi. Terasa sedikit badanmu menggigil. Sejuk campur takut. Engkau baring keletihan di atas tilam, disamping hasil curian tadi. Mungkin kekuatanmu habis dihadam kebimbangan. Sungguh Engkau lemah semangat dalam situasi sebegitu. Pandanganmu terpanah ke langit, dengan mata yang terkebil-kebil.

Tiba-tiba pintu makam diketuk kuat. Sangat kuat. Engkau bangkit dan membuka pintu. Sekujur tubuh gadis yang Engkau curi pagi tadi terpacak di hadapan matamu. Mulutnya kumat-kamit membacakan firman Tuhan dalam surah Al-Maidah ayat 38 : Pencuri lelaki dan pencuri perempuan, hendaklah dipotong tangan keduanya, sebagai balasan perbuatan keduanya dan sebagai siksaan daripada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Engkau gamam dan terpinga. Sungguh Engkau tidak tahu hendak berbuat apa.

Dia membacakan lagi firman Tuhan dalam surah An-Nisa’ ayat 29 : Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan harta orang lain dengan cara yang salah. Kecuali dengan perniagaan jual beli suka sama suka diantara kamu...

Engkau diburu rasa bersalah. Engkau tunduk memperaku.

Dia menyambung lagi katanya dengan hadis Nabi yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a : Tidak akan mencuri seorang pencuri, ketika dia mencuri dia beriman...

Engkau tersentak mengangkat muka, dan keinsafan pun mencurah bersama air mata.

Dia mengambil tangan kananmu dan Engkau merelakan. Dia kemudiannya meminjam kalam Imam Syafei : Jika mereka mengambil harta sahaja, potonglah tangan dan kaki mereka secara bersilang…

Engkau terpana. Gadis itu mengeluarkan pisau dari belakangnya, lalu dengan pantas mengerat pergelangan kananmu. Darah memancut laju, merah dan pekat. Dalam kesakitan yang amat sangat, Engkaupun menjerit.

Engkau terjaga dan buka mata. Rupanya Engkau masih di atas tilam setelah tertidur keletihan. Renek peluh bertompok-tompok, bercantum-cantum lalu turun ke bawah dagu. Dalam peluh dingin dan mimpi ngeri Engkaupun menggigil. Saat itulah azan zohur pun berkumandang, memanggil Engkau ke jalan Tuhan. Pintu taubat masih terbuka, selagi Engkau masih bernyawa.

Tuhan itu Maha Agung, tidakkah Engkau menyedarinya?

Kaherah, 21 Januari 2005, 9.25 pagi.
http://mohdzaki.blogspot.com